Teater Muzikal DBP 2010 Cungkil Bakat Baharu


SINERGI antara Bahagian Komunikasi Korporat Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan Biro Kebudayaan, Badan Keluarga DBP berjaya merealisasikan Pertandingan Teater Muzikal DBP pada 25 Jun lalu bersempena dengan Ulang Tahun DBP yang ke-54. Setiap kumpulan dikehendaki membuat persembahan berdasarkan filem yang dilakonkan oleh Seniman Agung Negara, Allahyarham Tan Sri Dr. P. Ramlee dan persembahan perlu menggabungkan lakonan, muzik, nyanyian dan tarian di atas pentas. Jika pada tahun 2007, kisah hidup Seniman Agung ini dipentaskan dalam teater muzikal, “P. Ramlee the Musical… Hidup, Cinta dan Inspirasi”, Biro Kebudayaan Badan Keluarga DBP pada tahun ini menghidupkan teater dan nostalgia kegemilangan beliau di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP.