Melayu, Warisan Tamadunnya Pemangkin Pembinaan Melayu Mahawangsa

Siapa itu Melayu? Daripada perspektif sejarah, perkataan Melayu amnya muncul buat pertama kali dalam tahun 644 Masihi. Ia tercatat dalam sumber China bertarikh 644 Masihi merujuk sebuah kerajaan di pantai timur Sumatera (Wolters, 1967). Ejaan yang ditransliterasi daripada tulisan China ke tulisan Melayu ialah Mo-lo-yu. Sekali lagi, dalam tahun 671 Masihi negeri Melayu muncul dalam sumber China. Sumber tersebut ialah catatan tempat yang disinggahi oleh I-Ching, seorang rahib China, dalam perjalanannya dari Guangzhou (Canton) ke India untuk mendalami ilmu agama Buddha. Dalam perjalanan tersebut I-Ching singgah di Srivijaya (Palembang) dan tinggal di sana untuk mempelajari bahasa Sanskrit dan agama Buddha sebelum ke India. Setelah tinggal enam bulan di Srivijaya, beliau bertolak ke India dengan kapal Srivijaya dan singgah di kerajaan Mo-lo-yu (Malayu) dan seterusnya ke Chieh-cha (Kedah) dan lalu ke India (Nalimda).